Tiga politeknik bertaraf universiti
PUTRAJAYA - Tiga buah politeknik akan dinaik taraf mulai tahun depan bagi membolehkan politeknik berkenaan menyediakan kursus diploma lanjutan, kata Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Katanya, penaikan taraf tiga institusi tersebut adalah bagi memantapkan sektor teknikal dan vokasional melalui lonjakan peranan dalam menghasilkan graduan yang lebih bermutu sebelum dinaik taraf menjadi universiti.
"Kalau kita lihat di luar negara sudah ada politeknik diiktiraf dan menyediakan kursus di peringkat lebih tinggi daripada diploma. Ini memandangkan sistem politeknik penting untuk meningkatkan sektor teknikal dan vokasional di negara ini.
"Kementerian juga tidak mahu pendidikan di politeknik hanya tersekat sehingga di tahap diploma sahaja malah politeknik juga akan dijadikan sebagai pusat Penyelidikan dan Pembangunan," katanya selepas Perhimpunan Bulanan kementerian itu dan pelancaran buku Pembangunan Pelajar: Memperkasakan Kokurikulum di sini semalam.
Menurut Mohamed Khaled, pengumuman mengenai pemilihan tiga buah politeknik itu akan dilakukan dalam masa terdekat selepas proses saringan kesemua 27 buah politeknik seluruh negara bagi menentukan politeknik yang paling layak.
Dalam perkembangan lain, Khaled turut menggesa semua institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) mengambil insurans berkelompok buat para pelajarnya supaya bantuan yang wajar dapat diberikan sekiranya berlakunya kejadian yang tidak diingini.
sumber:kosmo
0 ulasan:
Catat Ulasan