MB Terengganu bertanggungjawab tunai hasrat rakyat
KUALA TERENGGANU - Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said menolak tanggapan pihak tertentu yang menganggap beliau pemimpin berani apabila sanggup meminta Kerajaan Pusat mengembalikan wang royalti minyak kepada Kerajaan Terengganu.
Katanya, sebagai pemimpin tertinggi negeri, beliau hanya menyampaikan hasrat rakyat Terengganu selain menuntut janji pemberian royalti berasaskan perjanjian yang telah ditandatangani kerajaan sebelum ini.
“Bagi saya, ini bukan soal berani, soalnya kita menuntut sebagaimana dijanjikan, royalti minyak patut kita dapat berasaskan perjanjian, kita tengok Kerajaan Sabah pun pernah kalah, tapi royalti tidak ditarik balik, itu fakta undang-undang.
“Saya hanya diberikan amanah untuk menyampaikan hasrat rakyat Terengganu, Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) telah isytiharkan pada pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu lalu bahawa dia akan serahkan (royalti),” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri, di sini, semalam.
Ahmad berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pujian pemimpin Kelantan terhadap beliau berhubung tuntutan royalti minyak daripada Kerajaan Pusat.
Kerajaan Terengganu sebelum ini masih dalam rundingan untuk mendapatkan semula wang tuntutan royalti minyak negeri berjumlah RM2.792 bilion daripada Kerajaan Pusat.
Ahmad ketika Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu lalu berkata, rundingan tersebut bagaimanapun belum dapat diselesaikan apabila Kementerian Kewangan masih lagi dengan keputusan awal untuk membayar sebanyak RM1.686 bilion sahaja.
Mengulas lanjut Ahmad berkata, pihaknya masih belum mendapat maklum balas daripada Kerajaan Pusat selepas isu royalti minyak dibangkitkan pada persidangan DUN berkenaan.
Sehubungan itu katanya, beliau akan berjumpa dengan Perdana Menteri bagi berbincang secara lebih lanjut perkara yang masih belum mendapat kata putus.
sumber:sinarharian
0 ulasan:
Catat Ulasan