Statistik: 699,578 Pelancong ke Kelantan...
KOTA BHARU - Kelantan mencatatkan peningkatan kedatangan pelancong sebanyak 4.85 peratus iaitu menerima seramai 699,578 pada tahun 2009 dari bulan Januari hingga September berbanding sejumlah 667,205 ketibaan pengunjung bagi tempoh sama pada tahun 2008.
Menteri Pelancongan, Datuk Seri Dr Ng Yen Yen berkata, purata penginapan di hotel dan resort di seluruh Kelantan bagi sembilan bulan pertama tahun 2009 ialah 4.85 peratus.
Menurutnya, keunikan Kelantan yang kaya dengan khazanah alam semula jadi dan warisan sejarah, kebudayaan serta kesenian tradisional amat bernilai itu menjadi salah satu tarikan kepada pelancong.
“Kelantan sangat unik dan serba ada serta pertambahan jumlah kehadiran pelancong ini satu trend yang positif. Secara peribadinya saya melihat ramai pelancong antarabangsa mahupun dalam negara tertarik untuk mengunjungi Kelantan,” katanya semalam sempena Majlis Dialog Menteri Pelancongan Bersama Penggiat Industri Pelancongan Kelantan di sini, kelmarin.
Kira-kira 200 penggiat industri pelancongan negeri menyertai sesi dialog diadakan di Bangunan Pejabat Kementerian Pelancongan Negeri Kelantan.
Ng berkata, pada tahun 2008 seramai 58,838 pelancong antarabangsa memilih untuk singgah di Kelantan dan pada tahun lepas sejumlah 67,702 yang mengunjungi negeri ini.
Menurutnya, terdapat sebanyak 69 hotel, resort dan chalet di seluruh negeri Kelantan pada tahun lalu serta melibatkan sebanyak 3,598 bilik penginapan dan ia juga menjadi penyumbang kepada kehadiran pelancong.
“Dalam pada itu, kajian mendapati berlakunya penurunan jumlah kunjungan pelancong bagi beberapa negara termasuk Malaysia berikutan berlakunya penularan wabak Influenza A baru-baru ini.
“Bagaimanapun Malaysia menunjukkan trend positif dengan kunjungan pelancong seramai 19 juta (sehingga Mei) dan kerjasama yang ditunjukkan daripada semua pihak menunjukkan negara ini mencapai 23.65 juta pengunjung dan melebihi sasaran awal iaitu sejumlah 19 juta sahaja,” katanya.
Sebelum itu beliau juga turut melawat Pasar Kubang Pasu yang juga adalah tumpuan penjual secara kecil-kecilan menjual pelbagai makanan tradisional.
“Hasrat saya adalah untuk menjadikan lokasi ini sebagai Pusat Makanan untuk Kota Bharu, memanglah Pasar Siti Khadijah sudah menjadi ikon bagi negeri ini.
“Saya perhatikan gerai-gerai yang ada juga tidak diletakkan nama dan kita bercadang supaya mereka ini lebih kreatif untuk mempersembahkan produk masing-masing,” katanya.
0 ulasan:
Catat Ulasan